[VIDEO] Himpunan Mega Kebangkitan Ummah 3 bulan lagi - Utusan Malaysia

[VIDEO] Himpunan Mega Kebangkitan Ummah 3 bulan lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Julai – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) sudah pun mempunyai pera­ncangan untuk menganjurkan Himpunan Mega Kebangkitan Ummah dalam tempoh tiga bulan lagi selepas kejayaan ‘Himpunan Kebangkitan Ummah: Islam Melayu terancam’ yang berjaya mengumpulkan kira-kira 10,000 hadirin di Padang Kelab Sultan Sulaiman di sini, hari ini.

Penolong Ketua Sekreta­riatnya, Kamaruzaman Mohamad berkata, usaha untuk membawa suara kegusaran orang Melayu yang kini didukung oleh lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut akan dilakukan di negeri-negeri.

Beliau berkata, berdasarkan sambutan yang diterima hari ini, ia jelas melebihi jangkaan awal iaitu hanya sekitar 7,000 hadirin.

“Perhimpunan mega akan dibuat di lokasi lebih luas yang bakal dimaklumkan kemudian,” katanya ketika sidang akhbar selepas himpunan berkenaan.

Yang turut hadir, Ketua Se­kretariat Ummah, Aminuddin Yahaya; Pengerusi, Ismail Mina Ahmad; Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan dan bekas Ke­tua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan.

Himpunan yang bermula pukul 9 pagi dan berakhir pada pukul 2 petang itu membariskan 20 tokoh daripada pelbagai bidang membicarakan tentang isu-isu yang kini sangat membelenggu orang Melayu selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan Persekutuan.

Ia termasuklah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), liberalisme, lesbian, gay biseksual transgender (LGBT), tanah rizab Melayu serta Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Aminuddin menegaskan, Kementerian Pendidikan perlu menyatakan ke­tegasan untuk tidak memberikan sebarang peruntukan kewa­ngan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).

Aminuddin yang juga Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, dana itu sepatutnya dimanfaatkan untuk kegunaan yang lebih meluas kepada rakyat seperti meneruskan program MyBrain.

“Juga wajar digunakan untuk peruntukan sekolah-sekolah agama sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 12 (2) Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN