KUALA LUMPUR 25 Julai – Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini melanjutkan tempoh reman selama lima hari lagi terhadap seorang guru lelaki berusia 53 tahun bagi membantu siasatan kes cabul murid perempuan darjah empat di sebuah sekolah di Ampang, Mei lalu, yang tular dalam media sosial.
Perintah reman mulai esok sehingga 30 Julai ini dikeluarkan oleh Pendaftar, Roslan Md. Nor mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah semasa guru berkenaan yang memakai baju kolar berwarna kuning dibawa ke mahkamah tersebut.
Khamis lalu, suspek direman selama tujuh hari hingga hari ini bagi membantu siasatan kes cabul muridnya sendiri selepas ditangkap kira-kira pukul 2 petang, 18 Julai lalu di sekitar Ampang.
Guru terbabit disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Akhbar sebelum ini melaporkan, ibu kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu telah membuat laporan polis pada Jun lalu mengenai kejadian tersebut setelah dimaklumkan oleh anaknya.
Sementara itu, kejadian tersebut juga tular dalam Facebook dengan menyatakan mangsa dikatakan telah diajak oleh guru terbabit ke dalam sebuah bilik di sekolah itu dengan alasan membantu merekodkan markah.
Namun, ketika di dalam bilik itu, guru berkenaan menarik tangan mangsa secara kasar dan memaksanya duduk di atas pahanya serta memegang paha, dada dan kemaluan murid perempuan itu.
Ketika kejadian, terdapat tiga murid lain yang berada di dalam bilik itu yang turut menyaksikan kejadian tersebut dan difahamkan beberapa murid lain di sekolah terbabit telah tampil dan memberitahu mereka turut menjadi mangsa cabul kepada guru berkenaan.










