KUALA LUMPUR 25 Julai – Tempoh reman bagi seorang guru lelaki berusia 53 tahun dilanjutkan lima hari lagi mulai esok bagi membantu siasatan kes cabul terhadap murid perempuan darjah empat di sebuah sekolah di Ampang dekat sini, Mei lalu yang tular dalam media sosial.
Perintah reman sehingga 30 Julai ini dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret, Roslan Md. Nor mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah semasa guru berkenaan yang memakai baju kolar berwarna kuning dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini.
Khamis lalu, suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan sebelum ditangkap kira-kira pukul 2 petang, 18 Julai lalu di sekitar Ampang. Tempoh reman suspek berakhir hari ini.
Guru terbabit disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Akhbar sebelum ini melaporkan, ibu kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu telah membuat laporan polis pada Jun lalu mengenai kejadian tersebut setelah dimaklumkan oleh anaknya.
Sementara itu, kejadian tersebut juga tular dalam Facebook dengan menyatakan mangsa dikatakan telah diajak oleh guru tersebut ke dalam sebuah bilik di sekolah itu dengan alasan membantu merekodkan markah.
Namun, ketika di dalam bilik itu, guru tersebut menarik tangan mangsa secara kasar dan memaksanya duduk di atas pahanya serta memegang paha, dada dan kemaluan murid perempuan itu.
Ketika kejadian, terdapat tiga murid lain yang berada di dalam bilik itu yang turut menyaksikan kejadian berkenaan dan difahamkan beberapa murid lain di sekolah terbabit telah tampil dan memberitahu mereka turut menjadi mangsa cabul kepada guru berkenaan. – UTUSAN ONLINE










