KUALA LUMPUR 18 Julai – Dewina Holdings Sdn. Bhd. (Dewina) hari ini melancarkan tiga lagi perasa baharu nasi goreng di bawah jenama Brahim’s.
Antara perasa terbaru nasi goreng tersebut adalah Nasi Goreng Cina, Nasi Goreng Pedas dan Nasi Goreng Kicap dan produk tersebut boleh dinikmati seawal satu minit jika dimasukkan ke dalam ketuhar dan lima minit jika menggunakan air panas.
Ujar Pengerusi Eksekutif Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi, caranya penyediaanya tetap sama iaitu renyukkan bungkusan nasi goreng tersebut bagi memastikan nasi terlerai dan lazat dimakan selepas siap untuk dihidang.
Katanya lagi, Dewina mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan lagi produk di bawah jenama tersebut memandangkan label Brahim’s telah berada di pasaran hampir 30 tahun sejak 1988.
Mengulas lanjut tentang tiga perasa nasi goreng keluaran Brahim’s tersebut, Ibrahim memberitahu Dewina sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak pasaran dan juga memikat selera masyarakat.
“Produk Brahim’s ada di pasarkan ke negara luar dan produk ini juga sentiasa menjadi pilihan orang ramai yang ingin melancong atau berurusan di luar negara, beriadah di dalam hutan atau bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk memasak.
“Jika bercerita tentang tiga hidangan nasi goreng ini, setiap pek dilengkapi dengan berat sekitar 180 gram dan mempunyai 300 kalori selain ia boleh dijadikan sebagai makanan sihat untuk golongan yang ingin menjaga tubuh badan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Dewina Holdings Sdn. Bhd., Bangi.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Dewina Holdings Sdn. Bhd., Nur Fatin Ibrahim serta Pengurus Pemasaran dan Penjualannya, Fazil Othman. – UTUSAN ONLINE










