KUALA LUMPUR 17 Julai – Seiring dengan perkembangan terkini, Plaza Low Yat baru-baru ini menganjurkan kejohanan sukan elektronik (e-sukan) sebagai salah satu tarikan dalam kalendar penganjuran acaranya.
Kejohanan e-sukan Fifa Online 3 ‘Goal For It’ yang berlangsung di Plaza Low Yat, di sini baru-baru ini mempertaruhkan sebanyak 64 pemain dari sekitar Lembah Klang bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM10,000.
Penolong Pengurus Besar Plaza Low Yat, Elaine Liew berkata, acara bersempena musim Piala Dunia 2018 itu bertujuan menyerlahkan bakat serta potensi pemain muda dalam dunia e-sukan yang semakin mendapat tempat khususnya dalam kalangan generasi Y.
“Ini satu usaha yang sangat baik terutama untuk melahirkan bakat-bakat baharu dalam permainan video ini.
“Peserta bukan sahaja menjadikan aktiviti ini sebagai pengisian yang berfaedah malah berpeluang memenangi hadiah lumayan yang ditawarkan dalam pertandingan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Elaine, pihaknya bercadang meneruskan penganjuran kejohanan itu pada skala lebih besar pada masa akan datang selepas mengambil kira sambutan menggalakkan selain sokongan dan maklum balas positif daripada masyarakat.
Pada kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu, Md. Imran Sah (John Malaya) muncul sebagai juara manakala tempat kedua, ketiga dan keempat dirangkul oleh Hassan (Old), Shahmin Khusairi (hoyyosh) dan Amirul Ashraf Jailani (jeeezz).
Program yang disaksikan oleh kira-kira 1,000 pengunjung itu dianjurkan dengan kerjasama Garena, wan2play dan Viewnet Hyperstore. – UTUSAN ONLINE










