[VIDEO] 114 ditahan operasi judi haram - Utusan Malaysia

[VIDEO] 114 ditahan operasi judi haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Julai – Sebanyak 114 individu termasuk pasangan suami isteri dan anak perempuan mereka yang berusia 10 tahun ditahan dalam operasi membanteras judi haram yang dijalankan di 10 premis sekitar Jalan Bandar Rawang 3, Bandar Baru Rawang di sini malam tadi.

Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan diketuai oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bermula pada pukul 6 petang semalam sehingga awal pagi ini.

Difahamkan, ini adalah kali pertama Mohamad Fuzi menyertai operasi membanteras judi haram sejak menjadi Ketua Polis Negara sekali gus menunjukkan keseriusan beliau dalam memastikan gejala sosial itu dapat dihapuskan.


Video oleh NAZLINA NADZARI

Selain tangkapan, operasi itu turut merampas 208 mesin slot, 73 mesin simulator, 63 cip tambah nilai yang bernilai lebih RM1 juta ringgit selain wang tunai RM16,808.

Mohamad Fuzi Harun berkata, 41 yang ditahan merupakan penjaga premis berumur 20 hingga 40 tahun yang mana tiga daripadanya adalah warga tempatan sementara yang lain adalah warga asing.

Menurutnya, 73 lagi adalah pe­langgan dan lapan daripadanya adalah warga asing.

“Kanak-kanak berumur 10 tahun yang turut ditahan didapati mengikut kerana ibu bapanya yang bermain judi haram dalam sebuah daripada premis yang diserbu.

“Sementara harga satu mesin slot yang dirampas adalah kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 yang menjadikan nilai rampasan mencecah jutaan ringgit,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi operasi awal pagi ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Ketua Polis Se­langor, Datuk Mazlan Mansor.

Mohamad Fuzi berkata, pihak­nya menerima lebih 100 maklumat mengenai kegiatan judi haram di seluruh negara sejak penubuhan bilik gerakan khas bagi judi haram pada 20 Julai lalu.

“Kami terus membuat serbuan sebaik sahaja menerima maklumat daripada orang ramai sejajar dengan usaha untuk membanteras ke­giatan ini.

“Kegiatan judi haram mendatangkan masalah sosial dalam masyarakat, jadi kami meman­dang serius mengenai hal ini. Operasi sebegini akan dibuat secara berterusan bukan saha­ja di Selangor tetapi juga di tem­pat-tempat lain,” katanya. 


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN