SEREMBAN 16 Julai – Sebanyak 1,682 helai pakaian, selipar, kasut, stokin dan beg jenama tiruan bernilai RM39,816.20 dirampas dalam serbuan di 11 premis di sini dan Senawang, minggu lalu.
Video oleh ABD. RAZAK AID
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Zubir Hamsa berkata, pihaknya menjalankan risikan selama dua minggu terhadap premis terbabit yang beroperasi sejak kira-kira dua bulan lalu.
Menurutnya, susulan intipan itu, seramai 20 pegawai dan anggota penguat kuasa bersama wakil cap dagang menyerbu premis berkenaan.
Ujarnya, seorang lelaki berusia 40-an disyaki pemilik premis berkenaan dan juga dalang utama telah dikenal pasti dan tindakan susulan akan diambil terhadapnya.
“Serbuan dijalankan pada 10 Julai lalu. Hasil pemeriksaan ke atas 11 premis berkenaan secara serentak mendapati peniaga menjual pakaian, kasut, selipar, beg serta beberapa barangan lain menggunakan perihal dagangan palsu.
“Kita berjaya merampas 1,682 unit barangan menggunakan jenama tiruan Adidas, Nike dan Reebok dengan nilai dianggarkan RM39,816.20,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Zubir memberitahu, pihaknya mengesyaki operasi serupa membabitkan sindiket sama turut dijalankan di beberapa premis lain di negeri bersempadan dengan negeri ini.
“Sehubungan itu, kita juga akan bekerjasama dengan ibu pejabat di Putrajaya dan negeri yang bersempadan dengan Negeri Sembilan bagi menumpaskan sindiket menjual pakaian tiruan tersebut,” ujarnya.










