HOCKENHEIM – Pecutan saat akhir pelumba Ferrari, Sebastian Vettel melayakkannya untuk menempah petak pertama perlumbaan Grand Prix Jerman hari ini selepas berjaya menguasai sesi kelayakan yang berlangsung malam tadi.
Pemandu Jerman tersebut muncul sebagai pelumba terpantas di hadapan penyokong tempatan apabila melakukan catatan 1 minit 11.212 saat (s) sekali gus mencipta rekod baharu Litar Hockenheim yang dilakukan pada pusingan terakhir sesi berkenaan.
Aksi tersebut berlangsung cukup dramatik apabila pelumba Mercedes, Valtteri Bottas berjaya melakukan catatan terpantas pada pusingan terakhir itu terlebih dahulu sebelum beberapa saat kemudian Vettel berjaya merampas kembali kedudukan itu.
“Terima kasih kepada semua peminat yang memberikan sokongan dan saya sangat teruja melihat banyak bendera Ferrari dan Jerman berkibar di sini membuatkan saya terus bersemangat. Semuanya berjalan lancar buat saya sepanjang saingan tadi (malam tadi).
“Sewaktu sesi berkenaan, saya sedar bahawa saya perlu terus mendapatkan catatan terbaik pada pusingan terakhir kerana dicabar hebat Bottas. Saya sangat cemas, namun gembira dengan catatan masa saya yang berjaya dilakukan,” kata Vettel.
Sementara itu, perbezaan sebanyak 0.204s telah meletakkan pelumba Mercedes, Valtteri Bottas pada kedudukan kedua manakala seorang lagi pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen akan memulakan saingan di kedudukan ketiga.
Bagaimanapun, nasib berbeza buat penyandang juara dunia, Lewis Hamilton yang akur di kedudukan ke-14 setelah terpaksa menarik diri daripada pusingan kelayakan ekoran masalah mekanikal.
Ketika sesi tersebut, Hamilton berdepan masalah kegagalan kotak gear sebelum jurucakap Mercedes mengesahkan jenteranya mengalami tekanan hidraulik.
“Sememangnya agak sukar bagi saya ketika ini, namun saya akan beraksi berhabis-habisan esok (malam ini). Saya yakin mampu mengatasi situasi ini pada perlumbaan nanti tapi saya tidak pasti sehingga tahap mana,” ujarnya. – Agensi










