PENGERUSI Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd. Salleh menyifatkan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) pada kempen Piala Dunia Rusia 2018 telah disalahgunakan oleh pemain untuk mendapatkan gol mudah melalui cara yang tidak sepatutnya berlaku dalam kejohanan antarabangsa.
VAR mula diperkenalkan buat kali pertama di pentas Piala Dunia selepas diluluskan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai bahan rujukan kepada pengadil untuk membuat keputusan apabila berada dalam situasi tumpuan dan kritikal.
Subkhiddin merasakan ramai pemain telah mengambil kesempatan untuk menggunakan VAR sebagai platform kepada mereka mementaskan drama bagi mendapatkan gol-gol yang mudah dalam sesuatu perlawanan.
“Saya melihat dengan adanya VAR pemain menggunakan peluang ini supaya setiap sentuhan yang berlaku ke atas mereka perlu dinilai semula oleh pengadil.
“Lakonan pemain sering terjadi, terutamanya dalam kawasan kotak penalti kerana ganjaran yang bakal diperoleh adalah sepakan penalti sekiranya VAR memihak kepada mereka.
“Apabila permainan berada dalam situasi bola mati, pemain sering memenuhi kawasan kotak penalti dan adegan tarik menarik kerap berlaku agar tindakan mereka perlu dinilai semula oleh VAR.
“Adakalanya sentuhan tersebut adalah sesuatu perkara biasa atau normal dalam bola sepak, namun pemain telah melakukan lakonan yang sangat dramatik agar insiden tersebut memberikan kelebihan kepada pasukannya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pemain yang sering melakukan drama tersebut antaranya seperti Neymar (Brazil), Kylian Mbappe (Perancis) dan Luis Suarez (Uruguay) sepanjang kempen di Rusia.
Bagi edisi Piala Dunia 2018, Subkhiddin telah bertugas sebagai Jurulatih Teknikal Pengadil di Moscow bermula 31 Mei hingga 17 Julai yang mana skop tugasnya adalah merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal, menganalisis prestasi pengadil, memberi penjelasan teknikal kepada pemain dan pegawai pasukan bertanding serta memberi maklum balas mengenai prestasi pengadil sepanjang kejohanan.
Pada masa sama, tugasnya juga adalah membuat analisis berkaitan dengan VAR selepas perlawanan tamat dan memberi taklimat kepada pasukan mengenai perkara-perkara yang perlu dielakkan seperti sentuhan, panduan mengelak daripada dilayangkan kad merah dan sebagainya.
Ia adalah penampilan kedua Subkhiddin di pentas sama yang mana sebelum ini beliau telah bertugas sebagai pengadil keempat bagi edisi ke-19 untuk perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 antara pasukan tuan rumah, Afrika Selatan menentang Mexico.
Sementara itu, Subkhiddin memberitahu, VAR hanya berfungsi sebagai pembantu dan keputusan sesuatu perkara tetap terletak di tangan pengadil utama.
“Kita perlu faham sistem VAR, tiada keputusan hitam putih seperti mana keputusan teknologi garisan gol untuk mengesahkan sesuatu jaringan.
“Tugas pengadil tengah sentiasa diberikan keutamaan kerana VAR hanya dijadikan sumber rujukan sekiranya berlaku insiden yang kurang jelas di mata pengadil.
“Bagaimanapun, ia sering menjadi perdebatan meskipun kempen Piala Dunia telah tamat kerana semua tetap mempersoalkan tindakan yang dilakukan dan menganggap pengadil terlalu bergantung pada VAR.
“Hakikatnya, VAR hanya digunakan untuk melihat sentuhan yang berlaku ke atas pemain, seterusnya insiden tersebut perlu dihukum atau tidak kuasa sepenuhnya masih terletak di tangan pengadil utama,” ujarnya.










