Usul ubah cuti Jumaat perlu kajian menyeluruh - Pemangku Raja Pahang - Utusan Malaysia

Usul ubah cuti Jumaat perlu kajian menyeluruh – Pemangku Raja Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT – Cadangan untuk mengubah hari cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu di negeri ini perlu diperhalusi secara menyeluruh, titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Baginda mengulas, cadangan tersebut wajar dikaji menerusi tinjauan pendapat secara menyeluruh termasuk masyarakat bukan Islam yang bermastautin di negeri itu sebelum ia dilaksanakan.

“Tinjauan secara menyeluruh perlu dilakukan dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk orang bukan Islam,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian selepas berkenan menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Badan Kebajikan Kerabat Negeri Pahang Ke-22 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) di sini hari ini.

Baginda bertitah bagi mengulas cadangan Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur ketika Sidang DUN Pahang di Kuantan baru-baru ini.

Menerusi cadangan tersebut, Rosli mengusulkan hari cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad yang dilaksanakan ketika ini diubah kepada Jumaat dan Sabtu.

Tambah baginda lagi, usul tersebut telah dibahaskan dalam Sidang DUN Pahang, namun kerajaan negeri wajar mendapatkan pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang perubahan.

“Saya pun tidak boleh buat keputusan sama ada setuju atau tidak.

“Ia kerana saya sendiri juga akan membuat tinjauan untuk mendapatkan tindak balas (pelbagai pihak) mengenai cuti hari Jumaat seperti dicadangkan itu,” tambah Tengku Abdullah. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN