KUALA LUMPUR – Usul untuk menamakan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi bagi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 atau 7 Ogos, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.
Beliau berkata, Parlimen masih mempunyai masa yang mencukupi bagi tujuan berkenaan dan mengesahkan bahawa pihaknya belum menerima sebarang nama calon daripada pembangkang untuk jawatan Pengerusi PAC.
“Mengikut jadual mesyuarat Parlimen, usul menamakan pengerusi dan timbalan pengerusi PAC itu akan dibawa (dibentangkan) ke dalam dewan pada 6 atau 7 Ogos nanti.
“Tidak perlu tergesa-gesa* biarlah kami laksanakannya dengan cara terbaik. Usul berkenaan memang ada diperuntukkan di bawah perintah tetap Parlimen. Jangan bimbang, kami masih ada masa,” katanya kepada pemberita di Bilik Media Parlimen hari ini.
Kor Ming turut mengalu-alukan agar pembangkang dapat memberi nama bagi jawatan Pengerusi PAC sekiranya mereka mempunyai calon untuk jawatan berkenaan.
Peruntukan jawatan Pengerusi PAC untuk disandang Ahli Parlimen pembangkang adalah satu daripada janji PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 untuk mengukuhkan institusi Parlimen dan sebagai proses semak dan imbang lebih berkesan terhadap kuasa eksekutif.
Pada Selasa, Kor Ming membayangkan jawatan itu akan dipegang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat akan membincangkan perkara itu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong. – Bernama










