PULAU PINANG 3 Julai – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi pilihan Universiti Medeniyet Istanbul (UMI), Turki untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang rawatan kesihatan.
Kerjasama itu dimeterai baru-baru ini antara kedua-dua universiti tersebut dengan USM diwakili oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Prof. Dr. Norazmi Mohd. Nor dan penyelidik, Dr. Zuraida Zainun manakala UMI pula diwakili Prof. Mahmud Tayyar Kalcioglu.
Perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai dalam satu majlis di Kuala Lumpur itu membolehkan kedua-dua universiti tersebut menjalinkan kerjasama dalam bidang rawatan kesihatan menggunakan modul Balance Exercise (Bal-Ex) yang telah diperkenalkan oleh Dr. Zuraida.
Modul Balance Exercise (Bal-Ex) merupakan tarian terapi yang berasaskan senaman keseimbangan yang ringkas untuk individu yang mengalami masalah keseimbangan badan dan penyakit vertigo.
Melalui MoU itu juga, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk membangunkan dan melaksanakan program pascasiswazah dalam bidang kesihatan awam, penyelidikan, program pertukaran pelajar dan pengurusan penjagaan kesihatan di peringkat antarabangsa.
Menurut Dr. Norazmi, kerjasama itu menunjukkan kesungguhan semua pihak dalam menyokong usaha USM mewujudkan kerjasama dengan universiti luar negara melalui perancangan pengurusan yang strategik dan sistematik ke arah menangani isu-isu yang berkaitan dengan teknologi penjagaan kesihatan yang lestari.
“Saya berharap kerjasama dengan UMI ini akan menjadi titik mula ke arah pelbagai usahasama lain pada masa hadapan dalam perkongsian kepakaran khususnya untuk melonjakkan lagi aktiviti penyelidikan.
“Ia juga akan meningkatkan lagi tahap ilmu dan kemahiran pelbagai pihak yang terlibat dan saya amat yakin usaha ini akan menempatkan USM ke tahap yang lebih tinggi di persada dunia,” katanya.
UMI yang terletak di Istanbul ditubuhkan pada 2010 dan merupakan antara universiti awam yang terkemuka di Turki.










