KOTA BHARU 15 Julai – Usahawan muda dalam Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) negeri diminta tidak alpa supaya tidak ketinggalan dalam arus perubahan negara yang bergerak dengan pantas.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, usahawan Melayu perlu berusaha membangunkan diri dan mengejar kemajuan teknologi semasa.
Beliau berkata, usahawan negeri ini juga perlu menyedari sejarah hebat generasi awal dahulu yang terkehadapan dalam menjaga agama dan perniagaan.
“Kitalah yang pertama menubuhkan majlis agama Islam negeri dan kita jugalah yang pertama menubuhkan dewan perniagaan Melayu berbanding negeri lain.
“(Tetapi) Melayu jangan ‘ralit’ (alpa) sebab perubahan sekarang berlaku cukup hebat, kalau kita ketinggalan maka kita akan merempat di negeri kita sendiri.
“Sebagai Exco negeri saya bersyukur dengan adanya saudara dan saudari yang akan menjadi tangan mempertahankan kedaulatan Melayu di Kelantan,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke 43 Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) negeri, Nik Mohd Fahim Muhaimin dan Yang Dipertua DPMM negeri, Mohd Ali Amin Ab Latif. – UTUSAN ONLINE










