KUALA TERENGGANU 26 Julai – Kerajaan negeri berharap penyelesaian isu penyaluran royalti minyak tidak dilengahkan kerana keadaan itu boleh menjejaskan perancangan negeri dalam melaksanakan program dan projek untuk kepentingan rakyat.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana negeri masih banyak bergantung kepada sumber hasil itu, dan sebarang perubahan pendekatan oleh kerajaan Pusat, rakyat akan menerima kesannya.
Sehubungan dengan itu katanya, kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali terhadap mekanisme pembayaran royalti minyak kepada negeri ini.
“Ini kerana ada sedikit tersasar daripada apa yang kita jangka sebelum ini. Kita berharap diselesaikan dengan kadar segera.
“Banyak program dan projek yang ingin kita laksanakan, dan kesemuanya memberi kepentingan kepada rakyat. Perancangan) itu bergantung juga kepada penerimaan wang daripada royalti,” ujarnya yang dipetik dalam portal berita kerajaan negeri hari ini.
Azmin dalam sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat semalam memberitahu pemberian royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak tidak dapat disalurkan segera kerana Akta Pembangunan Petroleum 1974 perlu dipinda terlebih dahulu.
Malah Azmin dilaporkan berkata, jika Petronas meningkatkan pembayaran kepada 20 peratus daripada jumlah hasil pengeluaran kasar kepada negeri pengeluar minyak, ia akan memberi implikasi serius terhadap kewangan Petronas dan Kerajaan Persekutuan.
Menurut Dr. Samsuri, sebarang kelewatan dan perubahan dasar itu menyebabkan berlaku kekurangan jangkaan peruntukan negeri.
“Ia akan memberi kesan, bukan sekadar kerajaan negeri. Tetapi, yang lebih bimbang ialah kesan kepada rakyat. Jadi, kita minta pertimbangan ini perlu disegerakan.
“Kita tidak mahu akibat daripada perubahan dasar yang mungkin berlaku ini menyebabkan kekurangan peruntukan berbanding dengan yang diterima kerajaan negeri (5 peratus daripada pengeluaran) sebelum ini,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE










