Universiti Limkokwing, Asoba jalin kerjasama strategik - Utusan Malaysia

Universiti Limkokwing, Asoba jalin kerjasama strategik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEUNGGULAN dan kecemerlangan Universiti Limkokwing sebagai pusat perkembangan ilmu terutama dalam bidang kreatif dan inovatif di rantau ini menjadi tumpuan pelbagai institusi bagi menjalin kerjasama strategik.

Persatuan Murid-Murid Tua Lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson (Asoba), Perak yang diketuai Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid me­ngadakan pertemuan dengan Presiden Universiti Limkokwing, Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Lim Kok Wing, di Cyberjaya, Se­langor, baru-baru ini.

Ahmad Sarji berkata, antara perbincangan dalam pertemuan itu termasuklah hasrat mengukuhkan hubungan dua hala yang sedia terjalin di samping mengadakan perbincangan terhadap pelaksanaan program kerjasama antara Asoba dan Universiti Limkokwing.

“Hubungan Asoba dan Universiti Limkokwing sememang­nya akrab dan perkara itu dibuktikan melalui beberapa siri program akademik dan sukan sebelum ini,” katanya selepas pertemuan itu yang turut disertai Presiden Asoba yang juga Pengerusi Ins­titut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Universiti Limkokwing akan memainkan peranan membantu Asoba termasuk ISN dalam penciptaan lagu, pembikinan klip video untuk mempromosikan sukan di negara ini.

Kerjasama itu turut melibatkan sepuluh tawaran biasiswa kepada alumni Asoba dan guru SMK Anderson untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana di Universiti Limkokwing.

Dalam pada itu, Kok Wing berkata, kekurangan dalam mem­promosikan sukan di negara ini menjadi masalah utama kepada pembangunan sukan di Malaysia terutamanya di peringkat sekolah dan universiti.

“Saya yakin negara kita berpo­tensi maju dalam bidang su­kan jika lebih ramai pihak bertanggungjawab aktif mempromosikan bidang itu di media sosial atau di media cetak dan elektronik negara.

“Jika kita bekerjasama, pembangunan sukan negara akan bertambah maju dan setaraf de­ngan negara-negara maju lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN