Unit Tahfiz Pusat Pendidikan Al Barakah diteruskan, mungkin diambil alih pengurusan baharu - Utusan Malaysia

Unit Tahfiz Pusat Pendidikan Al Barakah diteruskan, mungkin diambil alih pengurusan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Penceramah bebas terkemuka, Datuk Ustaz Mohd. Kazim Elias mendedahkan Unit Tahfiz Pusat Pendidikan Al Barakah miliknya di Manjoi dekat sini akan diteruskan seperti biasa dan ia kemungkinan akan diambil alih oleh pengurusan baharu kelak. 

Pengasas dan Pengetua pusat pendidikan yang mesra dikenali Ustaz Kazim itu berkata, setakat ini terdapat beberapa pihak telah datang berjumpa dengannya menyatakan persetujuan untuk mengambil alih pengurusan Unit Tahfiz agar kelangsungannya dapat diteruskan.

“Setakat ini proses perbincangan dengan beberapa pihak masih diteruskan dan Unit Tahfiz tersebut tidak akan ditutup serta tidak akan dijual. 

“Sebaliknya ia akan diteruskan dnegan kemungkinan diambil alih oleh pengurusan baharu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambah Ustaz Kazim, sekiranya Unit Tahfiz tersebut tidak diambil alih oleh pengurusan baharu, beliau perlu mengambil keputusan untuk mengurangkan bilangan pelajar dan kakitangan dalam usaha mengurangkan kos pentadbirannya.

“Unit Tahfiz ini ditubuhkan dengan menggabungkan bidang tahfiz dan akademik bagi melahirkan pelajar-pelajar agama yang boleh menceburi bidang profesional apabila keluar kelak.

“Saya bimbang sekiranya kakitangan dikurangkan, kualiti pendidikan terutamanya dalam bidang akademik di Unit Tahfiz tersebut terjejas dan kemungkinan para pelajar hanya dapat mempelajari bidang tahfiz semata-mata,” jelasnya.

Tambah Ustaz Kazim, beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri Perak atas keprihatinan memberikan sumbangan dana sebanyak RM150,000.

“Terima kasih atas bantuan dana RM150,000 yang disumbangkan kerajaan negeri Perak tersebut.

“Bagaimanapun pihak saya masih belum berjumpa dan berbincang mengenai masalah yang dihadapi pusat pendidikan ini disebabkan jadual Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang padat,” katanya.

Menurutnya, aktiviti ceramahnya juga kembali pulih dan beliau kini banyak menerima jemputan menyampaikan ceramah di masjid dan surau selain rakaman kuliah agama di stesen televisyen. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN