MEMASUKI pusingan kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Barisan Nasional (BN) yang menampilkan Datuk Lokman Noor Adam sebagai calon, kekal dianggap sebagai underdog.
PKR menerusi calonnya, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni pula dianggap pilihan memenangi kerusi yang telah dikuasai parti itu sejak 2008, apatah lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu mereka menang dengan majoriti besar.
Namun, memasuki pusingan kedua ini, semakin banyak isu yang dilihat mampu menguntungkan BN seperti terlondehnya perangai liberal Pakatan Harapan, apabila menyajikan tarian gelek pada majlis kutipan Tabung Harapan.
Terbaharu, Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman meletakkan jawatan secara mengejut dan alasan diberikannya adalah kerana PKR mengamal nepotisme serta kronisme kronik hingga membentuk ‘kabilah’.
Semua ini sebenarnya memberi nafas kepada jentera BN jika bijak dipalu iramanya. Tambahan pula, rakyat sendiri bangkit mempersoal dan menuntut janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan yang tidak ditunaikan.
Bagaimanapun, isu tersebut walaupun boleh dianggap ‘rezeki terpijak’ tetapi jentera BN dan Lokman sendiri tidak boleh ambil mudah. Sejujurnya banyak lopong pada jentera BN yang perlu diperbaiki segera dalam PRK kali ini.
Berbaki seminggu lagi tempoh berkempen, BN tidak boleh lagi sekadar menjadi ‘jaguh Facebook’. Seluruh kepemimpinan BN perlu turun padang, berkampung di Sungai Kandis walaupun bajet pilihan raya kali ini kecil.
BN kena belajar hidup sebagai pembangkang dalam erti kata yang sebenar. Belajar menggerakkan kempen dengan bajet ala kadar. Zaman bermewah, zaman ada peruntukan baharu kerja sepatutnya sudah tiada dalam kamus BN jika benar parti itu mahu bangkit.
Kepada PKR dan Mohd. Zawawi pula, cabaran lebih besar menanti kerana rakyat sedang memerhati setiap gerak-geri. Politik di Selangor terkait langsung dengan senario di Pusat dan jika ada pihak menganggap isu tempatan lebih penting kepada pengundi Sungai Kandis, ia ternyata silap sama sekali.
Ironinya, ketika ini Pakatan Harapan di Pusat terpaksa memilih jalan politik ‘defensif’ dalam mempertahankan kegagalannya menunaikan janji pilihan raya selain beberapa menteri yang sudah mulai panas kerana menjadi sasaran kecaman masyarakat.










