Undang-undang negara Yahudi serlah identiti aparteid Israel - Utusan Malaysia

Undang-undang negara Yahudi serlah identiti aparteid Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Julai – Undang-undang mengiktiraf kewujudan Israel sebagai negara Yahudi yang diluluskan Knesset (Parlimen Israel) pada 19 Julai lalu menyerlahkan identitinya sebagai sebuah rejim aparteid.

Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) menegaskan, undang-undang baharu itu secara terang-terangan menafikan hak rakyat Palestin di negara asal mereka serta bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Menurut PCOM, langkah yang menerima bantahan masyarakat antarabangsa itu juga memburukkan lagi penindasan dan amalan aparteid yang selama ini dihadapi oleh rakyat Palestin.

“Melalui undang-undang ini, rejim Zionis Israel cuba menghapuskan identiti nasional rakyat Palestin dan menafikan hak sivil serta hak asasi mereka di tanah air sendiri,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada 20 Julai lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pendirian parti itu yang membantah sekeras-kerasnya keputusan Knesset meluluskan undang-undang tersebut.

PCOM turut mendakwa, undang-undang berunsur perkauman itu mungkin tidak diperkenalkan sekiranya kerajaan Amerika Syarikat (AS) tidak menyatakan sokongan terhadap rejim Zionis Israel.

“Tindakan AS memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis seolah-olah memberi lampu hijau kepada Israel untuk meneruskan dasar-dasar perkauman dan aparteid terhadap rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN