PUTRAJAYA 9 Julai – Undang-undang berkaitan pembiayaan dana politik akan digubal sebagai usaha membanteras amalan rasuah.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu bagi menghalang pemberian wang atau dana daripada ahli dan penyokong parti yang mengharapkan sesuatu sebagai balasan sekali gus menjurus kepada rasuah.
Beliau menjelaskan, kajian mengenai pengubalan akta itu sedang giat dijalankan buat ketika ini.
“Parti politik perlukan wang, pilihan raya perlukan wang dan sumber wang itu datang daripada ahli dan penyokong. Tetapi apabila anda membenarkan, mereka mungkin beri duit dengan harapan mereka mendapat balasannya. Maka sumbangan itu adalah rasuah dan sukar untuk mengesahkannya.
“Kita sedang melihat amalan pemberian dana politik di negara lain, sesetengah negara lain kerajaannya yang memberi dana, dan ini menjadi amalan di Jerman.
“Di Amerika Syarikat misalnya, mereka mempunyai sistem lobi yang mana duit dibayar kepada orang tertentu, ini adalah rasuah dan di Malaysia kita tidak akan benarkan perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir memberitahu, beberapa undang-undang tertentu akan diperkenalkan bagi menangani masalah rasuah secara khusus.
Katanya, dalam pentadbiran dahulu, beberapa kes rasuah yang jelas berlaku tidak diambil tindakan, malah diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Tindakan yang diambil pegawai juga salah, apabila laporan yang dibuat tidak menunjukkan sebarang salah laku oleh Perdana Menteri ketika itu, tapi jika tidak ada salah laku kenapa laporan perlu diletakkan di bawah OSA.
“Kebiasaannya anda tidak boleh menyembunyikan laporan seperti itu, apatah lagi laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), jadi masyarakat awam perlu tahu, tetapi ia disembunyikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










