KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipertanggungjawabkan untuk melakukan kajian terperinci terhadap sistem pengangkutan negeri untuk meningkatkan keupayaan perhubungan antara daerah di dalam Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kajian tersebut bukan sahaja melibatkan perhubungan udara malah pelbagai medium pengangkutan sedia ada termasuk perkhidmatan kereta api.
Menurut Mohd. Shafie, kajian UMS itu dapat membantu meningkatkan sektor pelancongan Sabah melalui pertambahan pelancong dengan penambahbaikan akses di dalam negeri ini.
“Saya sudah meminta pihak UMS untuk melakukan kajian bukan sahaja sistem pengangkutan udara tetapi kereta api dan pelbagai lagi untuk memastikan perhubungan di peringkat negeri dapat kita jayakan.
“Kita sedar kajian ini penting kerana Sabah sebagai lokasi strategik di rantau ini sudah pasti membolehkan kita menarik ramai pelancong berhampiran antaranya dari Jepun, Hong Kong dan Filipina ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Logo dan Moto UMS di pesawat MasWings di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MasWings Sdn. Bhd., Aminuddin Zakaria dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D. Kamaruddin D. Mudin.
Mohd. Shafie berkata, kolaborasi antara UMS dan MasWings diharap dapat mempertingkatkan kerjasama penambahbaikan industri pengangkutan udara di Sabah.
Sementara itu, kerajaan negeri merancang untuk memindahkan operasi KKIA di sini ke lokasi sekitar Papar dan Kimanis pada masa akan datang.
Tidak mengulas lanjut mengenai perancangan tersebut, Mohd. Shafie menjelaskan ia masih diperingkat cadangan. – K! ONLINE









