UMNO umum calon PRK DUN Sungai Kandis esok, guna logo BN - Utusan Malaysia

UMNO umum calon PRK DUN Sungai Kandis esok, guna logo BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – UMNO dijangka mengumumkan calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, pukul 4 petang esok. 

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, pengumuman itu akan dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga pengarah jentera PRK DUN Sungai Kandis.

Beliau berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO itu juga telah menetapkan bahawa calon yang bertanding akan menggunakan lambang Barisan Nasional (BN).

“Hasil mesyuarat malam tadi, kita telah senarai pendekkan beberapa nama calon PRK Sungai Kandis dan hari ini, nama itu akan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan parti bersama pengurusan Bahagian Kota Raja.

“Pengumuman calon akan dibuat esok oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad selaku pengarah pilihan raya di Bangunan UMNO Kota Raja pukul 4 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mat Nadzari bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci berhubung jantina calon dan sama ada ia merupakan orang tempatan atau luar. 

“Kita sedang mempertimbangkan beberapa nama yang dibawa oleh bahagian (Kota Raja) dan diterima oleh UMNO pusat,”ujarnya.

Pada 9 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 21 Julai ini sebagai tarikh penamaan calon PRK DUN Sungai Kandis manakala hari pengundian ditetapkan pada 4 Ogos depan.

Seramai 51,230 pemilih layak mengundi bagi PRK DUN Sungai Kandis yang ketika ini kosong selepas kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma tahap empat, 2 Julai lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN