KUALA LUMPUR 30 Julai – UMNO mengumumkan penubuhan lapan majlis dan jawatankuasa serta 10 sekretariat baharu dalam struktur organisasi UMNO bagi mentransformasikan parti tunggal yang memenangi kerusi terbanyak dalam Dewan Rakyat itu.
Antara majlis yang ditubuhkan adalah Majlis Hal Ehwal Syiar Islam, Majlis Hal Ehwal Perlembagaan dan Perundangan, Majlis Dasar Awam dan Majlis Hak Asasi dan Kepentingan Melayu/Bumiputera.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, majlis adalah ahli jawatankuasa yang dipimpin pemimpin kanan parti tetapi akan melibatkan pakar termasuk daripada bukan ahli parti.
“Penubuhan majlis ini adalah bertujuan memperkasakan Perkara 3 Perlembagaan parti iaitu berkaitan asas-asas dan tujuan penubuhan UMNO. Ini adalah usaha secara langsung untuk pastikan asas dan dasar mengapa UMNO ditubuhkan itu dihidupkan kembali.

“Ini sekali lagi mengambil kira kita berperanan sebagai pembangkang, bukan kerajaan. Apa yang penting adalah untuk kita kembali kepada penghayatan dan dasar falsafah roh serta semangat perjuangan parti itu sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam sidang akhbar tersebut, Annuar turut mengumumkan nama Majlis Tertinggi UMNO akan ditukar kepada Majlis Kerja Tertinggi UMNO seperti sebelum ini.
“Sewaktu kita sebagai kerajaan, Majlis Tertinggi lebih tertumpu kepada perkara dasar. Apabila kita sekarang bertindak sebagai pembangkang, kita merasakan ahli Majlis Tertinggi perlu memikul kerja dan tanggungjawab lebih terutamanya memberi tumpuan kepada aspek tertentu.
“Jadi semua ahli Majlis Tertinggi perlu mempunyai portfolio khusus yang tidak hanya tertumpu untuk dasar parti, tetapi juga menjadi penilai prestasi kerajaan sedia ada,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang ahli UMNO yang keluar parti, Annuar berkata, UMNO mengalu-alukan ahli yang mempunyai kepentingan jawatan, kuasa dan perniagaan untuk keluar UMNO dan menyertai Pakatan Harapan.
“Kita tidak mahu lagi ‘langau’ atau ‘lalat’ dalam parti ini. Pendekatan UMNO bukan lagi kepada politik perkhidmatan sebaliknya akan fokus menjadi parti perjuang kepada rakyat.
“Kalau hendak fokus politik perkhidmatan, mana-mana ahli bolehlah masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika takut hilang jawatan, kuasa atau job,” katanya.










