KUALA LUMPUR 15 Julai – UMNO perlu konsisten dalam menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang tidak selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan seperti termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.
![]() |
|
Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi
|
Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Dasar Pendidikan Kebangsaan bertujuan memastikan perpaduan rakyat melalui satu dasar pelajaran di mana bahasa Melayu sebagai asasnya sedangkan komponen Bahasa Melayu dan Sejarah dalam UEC itu tidak memenuhi standard seperti dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan bukan bermakna rasis tetapi agenda nasional untuk rakyat yang berbilang kaum. UMNO mesti konsisten dalam hal ini, jika tidak, integrasi nasional melalui bahasa Melayu menjadi lebih cacamarba.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah banyak bertolak ansur seperti membenarkan kewujudan 60 sekolah menengah persendirian Cina yang mengguna pakai UEC.
“Sepatutnya cukuplah pendidikan sekolah vernakular ini dibenarkan di peringkat pendidikan rendah sahaja iaitu di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil tetapi apabila di peringkat menengah semua pelajar perlu berada dalam satu sistem iaitu sekolah menengah kebangsaan (SMK),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Hari ini, Kementerian Pendidikan menegaskan sebarang keputusan yang bakal diambil berhubung pengiktirafan UEC akan bersifat komprehensif dan holistik tanpa menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya perlu mengambil kira kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan jika ada sebarang impak daripada keputusan pengiktirafannya yang mungkin akan menjejaskan perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia.
Sementara itu, Dr. Mohd. Puad menambah, kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang mengaitkan pengiktirafan UEC oleh universiti luar negara termasuk universiti swasta di negara ini juga dilihat tidak wajar.
“Universiti-universiti berkenaan tidak terikat dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan malah majoriti universiti itu hanya mengutamakan nilai komersial semata mata.
“Isu pengiktirafan UEC yang terkandung dalam manifesto BN yang lalu juga diungkit oleh Ka Siong sedangkan pengiktirafan itu bersyarat dan hanya dalam bidang tertentu sahaja sebagai contoh kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk program Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang dilaksanakan pada 2012 di mana khusus untuk pengambilan guru bahasa Mandarin sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE











