UMNO Kuala Nerus mula bergerak ke arah penyatuan - Utusan Malaysia

UMNO Kuala Nerus mula bergerak ke arah penyatuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 16 Julai – UMNO Bahagian Kuala Nerus yang kini diterajui barisan kepemimpinan baharu mula memberi fokus ke arah penyatuan dalam parti yang menjadi kekangan selama ini agar dapat memberi nafas baharu untuk bangkit dan berperanan dengan lebih berkesan.

APLI YUSOFF
APLI

Usaha bagi pengukuhan parti dan menarik keyakinan semula masyarakat dimulakan dengan memberi tempat dan peranan kepada kalangan pemimpin dan bekas pemimpin serta pendokong parti melalui pembentukan jawatankuasa baharu.

Ketuanya, Apli Yusoff memberitahu Utusan Online,  melalui mesyuarat khas semalam, jawatankuasa telah melantik setiausaha, bendahari serta empat pengerusi penyelaras di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam bahagian itu.

Beliau yang mengambil alih tampuk kepemimpinan UMNO bahagian berkenaan dalam pemilihan pada 30 Jun lalu berkata, Ismail Awang yang dilantik sebagai Setiausaha manakala Ismail Nik sebagai Bendahari UMNO bahagian yang baharu.

Ismail merupakan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus manakala Ismail Nik merupakan bekas Pengerusi Penyelaras Bukit Tunggal.

Selain itu, jelas beliau, mesyuarat khas itu juga melantik empat individu termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga bekas Ketua UMNO bahagian bagi mengisi jawatan Pengerusi Penyelaras DUN.

Apli memberitahu, selain Ahmad Razif, empat lagi Pengerusi Penyelaras DUN ialah Datuk Hassan Ali (Tepoh), Sidek Ismail (Teluk Pasu) dan Kamruzzaman Mansor (Bukit Tunggal).

Dalam pemilihan Ketua UMNO Bahagian, 30 Jun lalu, Apli, 48, diberi mandat peringkat akar umbi untuk menerajui UMNO Bahagian Kuala Nerus apabila memperoleh 465 undi sekali gus menewaskan Ahmad Razif yang mendapat 422 undi.

“Lebih banyak langkah akan diambil dengan mengetepikan sebarang perbezaan selama ini agar dapat bersama dalam keadaan yang tentunya sangat menguji kesetiaan terhadap parti dan perjuangan ketika UMNO kehilangan kuasa di peringkat negeri dan negara,”ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN