SHAH ALAM – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja mendesak kepimpinan tertinggi parti itu meletakkan calon tempatan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Naib Ketua Pergerakannya, Rafify Ramlan berkata, pemilihan anak tempatan sebagai calon akan mengukuhkan lagi jentera parti dalam melaksanakan gerak kerja kempen dalam PRK berkenaan dan mampu meyakinkan rakyat di kawasan DUN itu.
“UMNO Bahagian Kota Raja tidak ketandusan pemimpin untuk dipilih sebagai calon. Lagi pun, kalah atau menang UMNO di kerusi DUN Sungai Kandis pada PRK itu ia tidak merubah landskap politik sama ada di peringkat negeri atau pusat.
“Namun, sebagai sebuah parti politik yang bertunjangkan memelihara kepentingan rakyat dan negara, UMNO perlu menang di kerusi DUN ini. Bagaimanapun, meletakkan calon luar hanya menyukarkan jentera UMNO dalam tempoh kempen berbanding anak tempatan yang lebih dikenali rakyat serta ahli-ahli akar umbi parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Rafify turut meminta supaya pengumuman calon yang akan bertanding dalam PRK DUN Sungai Kandis dibuat lebih awal bukannya di saat-saat akhir tarikh penamaan calon pada 21 Julai ini.
“Calon Parlimen untuk PRU-13 hanya mengetahui beliau calon pada hari penerimaan watikah, hasilnya calon berkenaan kalah ribuan majoriti dengan Pas ketika itu.
“Pada PRU-14 yang lalu, calon Parlimen Kota Raja hanya mengetahui beliau calon kurang 24 jam sebelum watikah diberikan sedangkan ketika itu BN tidak ketandusan calon yang bekerja, hasil dari itu calon berkenaan tewas lebih 70,000 undi.
“Indikator berkenaan cukup jelas untuk dijadikan ukuran buat pemimpin parti untuk meletakan calon di Sg Kandis,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan akan akur serta menghormati sebarang keputusan pucuk pimpinan parti dalam soal pemilihan calon yang bertanding.
Pada 9 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 21 Julai ini sebagai tarikh penamaan calon PRK DUN Sungai Kandis manakala hari pengundian ditetapkan pada 4 Ogos depan.
Seramai 51,230 pemilih layak mengundi bagi PRK DUN Sungai Kandis yang ketika ini kosong selepas kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma tahap empat, 2 Julai lalu. – K! ONLINE










