KUALA LUMPUR 28 Julai – Teraju utama filem Dukun, Datin Seri Umie Aida, 45, mengakui memberi ‘lampu hijau’ kepada suaminya untuk berkahwin lagi bagi mengelakkan lelaki itu membuat dosa.
Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali berkata, dia tidak mahu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, 56, yang menikahinya pada 2010 itu ‘makan luar’, sekali gus mendekati perbuatan zina.
“Tiba-tiba pagi tadi selepas bangun tidur, naluri saya mahu berkata sedemikian kepada suami memandangkan diri saya bukanlah manusia sempurna.
“Tidak dinafikan, boleh dikatakan semua isteri enggan hidup bermadu dan berbahagi kasih, tetapi kita tidak tahu meramalkan masa depan,” katanya ketika dihubungi setelah memuat naik pengakuannya itu pada laman Instagram.
Di samping itu, Umie beranggapan bahawa poligami adalah satu cabaran dalam menempuhi kehidupan berumah tangga dan jika enggan suami membuat dosa, apa salahnya beri keizinan tersebut.
“Namun, andai seseorang suami itu dapat mengelak dan mengawal dirinya untuk berkahwin lagi, baguslah. Alhamdulillah,” ujarnya.
Tambah pelakon handalan itu, soal hati dan perasaan adalah sesuatu yang sukar dijangka dan tindakan itu sekurang-kurangnya mempersiapkan dirinya menerima sebarang takdir Allah. – UTUSAN ONLINE










