BATU GAJAH – Kakitangan yang sedang bertugas di Hospital Batu Gajah di sini gempar apabila seekor ular jenis katam tebu sepanjang hampir satu meter berkeliaran di tepi Wad 2 hospital berkenaan pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11.30 pagi itu, ular berbisa berkenaan memasuki pekarangan hospital tersebut sebelum dilihat berada di tepi dinding Wad 2.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Isa Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.42 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Khuatir ular berbisa itu masuk ke dalam bangunan wad, seorang kakitangan hospital telah memaklumkan kepada kami.
“Tiba di tempat kejadian, ular tersebut masih berada di luar bangunan dan anggota menggunakan peralatan khas untuk menangkapnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Jelas Isa, ular katam tebu yang tidak dapat dipastikan jantinanya itu dipercayai sedang mencari makanan sebelum masuk ke pekarangan hospital berkenaan.
“Ular berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
“Kami menasihatkan kepada orang ramai yang terserempak dengan ular katam tebu ini supaya tidak mengganggu dan menangkapnya kerana ia merupakan ular yang berbisa dan boleh menyebabkan kematian sekiranya dipatuk,” katanya. – K! ONLINE











