SHAH ALAM 25 Julai – Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan turun padang bertemu alumni universiti itu secara kerap, bagi berkongsi idea dan pandangan dalam memperkasakan peranannya sebagai pemangkin pembangunan masyarakat.
Naib Canselornya, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, langkah itu dilihat wajar dilaksanakan selaras dengan tanggungjawab UiTM untuk membantu kerajaan dalam aspek pendidikan di negara ini.
“Kita lihat ramai alumni UiTM yang telah berjaya terdiri daripada para profesional industri, ahli komuniti dan tokoh-tokoh tidak kira di sektor korporat, awam mahupun swasta. Jadi inilah peluang terbaik kami untuk berkongsi pelbagai idea dalam memantapkan lagi perjalanan universiti ini.
“Sekiranya kita mahu adakan pertemuan bersama alumni mungkin agak sukar sebab mereka ini banyak komitmen, jadi kita ambil inisiatif untuk turun padang bertemu sendiri dengan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program University-Industry-Community-Alumni and Entrepreneurship Session 2018, di sini hari ini.
Turut hadir, Pro Canselor UiTM Tan Sri Arshad Ayub dan Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Berhad yang juga alumni universiti itu, Datuk Kamarudin Meranun.
Hassan berkata, dengan penglibatan pihak industri serta alumni, secara tidak langsung ia akan mempertingkatkan kemampuan dan kemajuan universiti itu dalam mencapai matlamatnya menjadi universiti tersohor di negara ini.
“Kita sebenarnya berbangga dengan penglibatan alumni UiTM, yang mana apabila ada penglibatan mereka dalam aktiviti universiti ia merupakan satu tanda positif di mana mereka mempunyai kepercayaan yang jitu terhadap universiti.
“Kita mahu penglibatan mereka ini menjadi sebahagian daripada ekosistem universiti yang mana akan memberi nilai tambah serta perkembangan yang lebih hebat kepada universiti,” katanya.
Dalam pada itu, Hassan turut menyeru supaya alumni UiTM terus menyumbang dana kepada Tabung Pendidikan 1 Bilion yang dilihat kurang mendapat sambutan dalam kalangan alumninya.
Beliau berkata, dana pendidikan itu perlu bagi membiayai projek dan program berkaitan termasuklah beberapa kajian ilmiah yang dilaksanakan universiti.
“Tabung yang dilancarkan dua tahun lepas itu setakat ini telah mengumpul lebih RM10 juta dan untuk capai ke RM1 bilion adalah sangat jauh. – BERNAMA










