SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada keluarga seorang pelajar jurusan Asasi Sains dari Pusat Asasi UiTM cawangan kampus Dengkil, Putrajaya di sini yang maut selepas terjatuh dari tingkat empat kolej kediamannya kelmarin.
Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, bantuan itu melibatkan pemberian awal sebanyak RM3,000 adalah bagi membantu dalam urusan pengebumian dan RM7,000 lagi akan diserahkan kepada keluarga mangsa, Nik Muhammad Addin Azmi, 18 tahun.
“Pihak universiti berasa amat sedih dengan kejadian ini dan berharap agar keluarga mangsa diberikan kesabaran dan reda menerima kejadian tersebut.
“Wakil pengurusan pihak universiti telah menghubungi dan melawat keluarga mangsa bagi menyampaikan ucapan takziah dan akan menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada mereka dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kosmo hari ini melaporkan Nik Muhammad maut selepas terjatuh dari besi balkoni tingkat empat asrama ketika bercakap menggunakan telefon.
Hassan memberitahu, pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya sebaik kejadian diketahui pukul 11.30 malam Ahad lalu.
Ujarnya, ini termasuklah tindakan pantas pihak pengurusan kolej serta beberapa orang Staf Residen Kolej (SRK) bergegas ke tempat kejadian bagi mendapatkan maklumat terperinci seterusnya menghubungi pihak polis dan ambulan untuk tindakan lanjut.
“Orang ramai disarankan tidak menyebarkan gambar dan maklumat tidak sahih melalui media sosial berkaitan kes itu bagi menghormati keluarga mangsa.
“Tambahan, kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis,” jelasnya. -K! ONLINE










