UiTM beri sumbangan kepada keluarga pelajar maut jatuh bangunan - Utusan Malaysia

UiTM beri sumbangan kepada keluarga pelajar maut jatuh bangunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 17 Julai – Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyalurkan bantuan RM10,000 kepada keluarga pelajar Asasi Sains Pusat Asasi UiTM Kampus Dengkil, Nik Muhammad Addin Azmi yang maut setelah terjatuh dari aras empat di Kolej Tualang.

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, daripada jumlah tersebut, RM3,000 telah diberikan pada hari kejadian bagi membantu meringankan urusan pengebumian.

Baki RM7,000 lagi katanya akan diberikan kepada keluarga Allahyarham dalam masa terdekat.

“Selepas kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 11.30 malam itu, pihak UiTM telah mengambil tindakan yang sewajarnya apabila bergegas ke tempat kejadian bagi mendapatkan maklumat terperinci.

“Mereka kemudiannya menghubungi pihak polis dan ambulan. Wakil pengurusan UiTM juga telah menghubungi dan melawat keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Hassan berkata, pihaknya juga menyeru kepada orang ramai agar menghormati keluarga mangsa dengan tidak menyebarkan gambar atau maklumat tidak sahih di media sosial.

Jelasnya, perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut hanya akan memburukkan lagi keadaan terutamanya dalam aspek kesedihan keluarga mangsa.

“Siasatan lanjut berkenaan kes ini sedang dijalankan oleh pihak polis dan pihak universiti berasa amat sedih dengan kejadian ini. Kami berharap agar keluarga mangsa akan diberi kesabaran dan redha menerima ketentuan Ilahi ini.

“Saya berdoa semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN