Ugut Maszlee, lelaki ditahan - Utusan Malaysia

Ugut Maszlee, lelaki ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 26 Julai – Seorang peniaga peralatan perubatan telah ditahan polis semalam selepas menghantar mesej berunsur ugutan dan maki hamun kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, lelaki berumur 40 tahun itu ditahan selepas diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Putrajaya semalam.

“Kelmarin, pada kira-kira pukul 6.30 petang, Menteri Pendidikan telah menerima mesej yang didapati ada unsur ugutan di pejabatnya.

“Siasatan telah dijalankan dan pada kira-kira pukul 11 pagi semalam, kita telah menangkap seorang lelaki bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta dirampas telefon bimbit miliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ujar Rosly, lelaki berkenaan dikenakan tahanan reman selama sehari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Difahamkan, mesej berbaur ugutan dan maki hamun itu adalah berkaitan kenyataan Maszlee yang seolah-olah merendah-rendahkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam sebuah klip video yang tular baru-baru ini.

Laporan polis telah dibuat oleh salah seorang setiausaha kepada Menteri Pendidikan terhadap mesej ugutan itu berikutan bimbangkan keselamatannya dan keluarganya.

Difahamkan, antara kata-kata kesat yang dihamburkan kepada Maszlee ialah menteri barua, jangan biadap dengan Melayu dan jangan memperlekehkan penerima BR1M.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN