UEC rungkai asas perpaduan kaum - Harussani - Utusan Malaysia

UEC rungkai asas perpaduan kaum – Harussani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 25 Julai – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan merungkai asas perpaduan kaum yang berpaksikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam dasar pendidikan kebangsaan.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, adalah amat mendukacitakan jika UEC diiktiraf kerana  akan membuka ruang yang cukup besar kepada kaum-kaum lain dengan menimbulkan semangat perkauman yang boleh merosakkan suasana harmoni yang telah lama wujud di negara ini.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambikira maslahat umum iaitu sesuatu yang berfaedah, silibus, dasar dan akta-akta sedia ada serta pandangan pakar dan tokoh negawaran yang berkaitan dalam setiap perancangan dasar baharu.

“Kerajaan tidak seharusnya hanya menerima sahaja cadangan dan terus melaksanakannya tanpa melihat kepada kesan dan akibat dasar tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Harussani, bahasa Melayu secara jelas telah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan selain dasar pendidikan kebangsaan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Beliau berkata, dasar pendidikan sedia ada telah terbukti mampu memacu pembangunan negara ke arah lebih baik dan sistem negara dibentuk berasaskan perpaduan kaum dan pembinaan negara bangsa.

Kata beliau, Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Taib 1960 adalah antara dasar terbaik yang telah digubal dengan mengambil kira semangat perpaduan kaum bagi memastikan sistem pendidikan negara mampu memelihara perpaduan nasional.

Katanya, masyarakat hari ini adalah antara komponen manusia yang telah menikmati manfaat daripada dasar-dasar tersebut. 

“Pengorbanan negarawan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Chen Lock,  Tun Tan Siew Sin dari MCA yang menghalang pelaksanaan UEC pada zaman mereka adalah semangat perpaduan kaum yang sangat tinggi yang ditunjukkan oleh mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN