UEC: Kementerian Pendidikan jangan mudah tunduk - Utusan Malaysia

UEC: Kementerian Pendidikan jangan mudah tunduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGANU 26 Julai – Alumni GPMS Kebangsaan menggesa agar Kementerian Pendidikan agar jangan mudah tunduk kepada desakan pihak berkepentingan yang mahu kerajaan segera mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) kerana boleh memberi impak besar kepada kerajaan dan rakyat.

Presidennya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, sekiranya terus dilakukan tanpa syarat tertentu yang perlu dipatuhi, bermakna kementerian berkenaan telah melakukan diskriminasi terhadap calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti teras sistem pendidikan negara.

Beliau menegaskan, Alumni GPMS berpendirian, jika kerajaan tetap mahu melunaskan janjinya dalam manifesto, UEC hanya boleh diterima pakai jika ia mematuhi sistem peperiksaan yang diiktirafkan kerajaan seperti syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah sebagaimana syarat dalam SPM.

“Sebenarnya kami Alumni GPMS Kebangsaan tak ada masalah dan tidak menghalang sekiranya kerajaan terima UEC ini tetapi kenalah patuhi piawaian ditetapkan seperti wajib lulus BM (Bahasa Melayu) dan Sejarah.

“Ini supaya tahu asal usul negara ini, mampu memahami dan bertutur dalam bahasa Kebangsaan selaku seorang warganegara,”katanya.

Syed Anuar mengulas isu UEC yang berterusan mengundang bantahan banyak pihak yang antara lain dikhuatiri akan merosakkan asas perpaduan kaum sekiranya sijil itu mendapat pengiktirafan kerajaan kelak.

Beliau berkata, satu piawaian khusus perlu dibentuk oleh Kementerian Pendidikan dalam menangani isu berkenaan bagi memastikan tidak berlaku kecelaruan kalangan masyarakat sekali gus memelihara martabat Bahasa Melayu itu sendiri.

“Kementerian Pendidikan perlu bijak mencari resolusi terbaik dan kalau desakan ini (iktiraf UEC) dipenuhi tanpa ada pengisian wajar, kita bimbang akan jadi ikutan kepada institusi lain untuk tuntut benda yang sama

kerana pastinya ada yang bertanya mengapa hanya melibatkan masyarakat Cina,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN