Tutup sekolah vernakular - Utusan Malaysia

Tutup sekolah vernakular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, KETIKA rakyat Malaysia sedang hangat berdebat mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina, ramai tidak sedar masalah berpunca daripada pendidikan vernakular yang tidak ditamatkan selepas negara merdeka pada 1957.

‘Kesilapan’ ini menjadi antara punca utama komuniti Cina sukar untuk keluar daripada kepompong pergaulan kaum sendiri kerana tiada keperluan berurusan bersama kaum lain selain bagi urusan di pejabat kerajaan dan perniagaan.

Disebabkan itu juga mahkamah dan sesetengah agensi kerajaan masih menyediakan penterjemah walaupun selepas lebih 60 tahun kita merdeka.

Sebenarnya, dahulu MCA hebat mempertahankan pendidikan vernakular dan mendapat ‘sokongan’ UMNO untuk meneruskannya termasuk menyekat sebarang usaha menutupnya, sehinggalah Barisan Nasional tewas pada 9 Mei lalu.

Dalam kerajaan Pakatan Harapan pula, hanya DAP yang ‘terdesak’ memperjuangkan sekolah vernakular dan UEC, itu pun bukan semua anggota parti itu terlibat memandangkan ramai juga yang mendapat pendidikan di sekolah persendirian bahasa Inggeris dan universiti negara Barat.

Parti gabungan lain dalam kerajaan juga tidak peduli ataupun tidak mahu pendidikan vernakular apatah lagi mengiktiraf UEC. Oleh itu, tidak wajar pendidikan vernakular mahupun UEC dikatakan agenda kerajaan.

Sekolah Tamil juga semakin hilang sambutan dengan rata-rata komuniti India kini memilih pendidikan bahasa Inggeris mengatasi pendidikan vernakular mahupun sekolah kebangsaan.

Oleh itu, pejuang sebenar pendidikan vernakular cuma tinggal persatuan Cina seperti Dong Zong. Majoriti rakyat termasuk kebanyakan komuniti Cina sendiri sudah boleh menerima jika aliran vernakular khususnya sekolah persendirian Cina dihentikan atau diserap masuk ke dalam sekolah kebangsaan.

Kerajaan baharu sepatutnya berani membuat perubahan dalam sistem pendidikan kerana sejarah 10 tahun kebelakangan ini membuktikan pengundi Cina tetap akan memilih DAP dan sekutu-sekutunya walau apa juga yang berlaku.

Dengan menutup sekolah vernakular, maka tiada lagi isu UEC dan semua kaum boleh bersatu di bawah satu sistem pendidikan berpusat yang adil dan saksama.

Jika ada yang berpendapat sistem sekolah vernakular lebih baik, terapkan ciri-ciri itu dalam sekolah kebangsaan untuk manfaat anak kecil tanpa mengira kaum atau agama.

Pasti ramai akan membantah tetapi lihat sendiri muda-mudi Cina dan India di luar sana, rata-ratanya bukannya bertutur bahasa Tamil atau Mandarin tetapi menggunakan hampir sepenuhnya bahasa Inggeris. Di mana impak pendidikan vernakular jika itu norma semasa?

Anak muda Melayu pula rata-ratanya menggunakan bahasa kebangsaan tetapi semakin ramai menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Ini menunjukkan tiada kesepakatan walaupun untuk bahasa antara kaum di negara ini.

Bahasa Melayu dipinggirkan, bahasa Inggeris diutamakan sementara bahasa ibunda sekolah vernakular cuma ‘watak sampingan’ yang cuma kadangkala muncul dalam urusan harian.

Berpijaklah di bumi nyata, realiti semasa menjangkakan sekolah vernakular semakin dilupakan komuniti Cina dengan peningkatan bilangan murid mula bergantung kepada kemasukan anak Melayu yang semakin ramai.

GURU BM

Gombak, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN