KUALA LUMPUR 30 Julai – Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menggesa Wisma Putra mengambil tindakan sewajarnya termasuk mendesak pihak berkuasa Israel supaya memastikan keselamatan perjalanan kapal flotila al-Awda untuk membawa bekalan ubat-ubatan kepada rakyat Palestin di perairan Gaza.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, beliau amat risau tentang keselamatan 22 aktivis yang berada dalam kapal berkenaan termasuk seorang rakyat Malaysia, Dr. Mohd. Afandi Salleh daripada MyCare, selepas pihak Israel menawan kapal tersebut.
“Saya berasa cukup bimbang selepas mengetahui tentang tawanan kapal misi kemanusiaan al-Awda oleh pihak berkuasa Israel malam tadi. Saya bimbang dengan keselamatan dan keadaan warganegara Malaysia dan peserta lain yang berada dalam kapal itu.
“Saya menyeru Wisma Putra untuk mengambil tindakan yang perlu dan menuntut agar pihak berkuasa Israel memastikan laluan yang selamat bagi mereka yang berada dalam kapal untuk menghantar bantuan kepada rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










