KUANTAN 6 Julai – Individu atau syarikat yang masih gagal menjelaskan tunggakan hasil di negeri ini yang melibatkan jumlah keseluruhan berjumlah RM151 juta bakal berdepan tindakan tegas termasuk harta dirampas.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, tunggakan hasil sehingga 31 Mei lalu itu membabitkan cukai tanah, sewa Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), cukai taksiran am atau cukai pintu dan royalti bahan mineral.
“Kami terpaksa bertegas dan mengambil tindakan segera menggesa mereka terlibat menjelaskan tunggakan itu dalam tempoh tiga hingga enam bulan berkuatkuasa serta-merta.
“Jika gagal harta benda mereka akan dirampas, disita, dilelong dan ditarik semula lesen melombong bagi royalti bahan mineral,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











