Tunggakan bil utiliti Perlis hampir RM39 juta - Utusan Malaysia

Tunggakan bil utiliti Perlis hampir RM39 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Kadar hutang yang melibatkan bil utiliti jabatan dan agensi kerajaan negeri Perlis dan Persekutuan di negeri ini sehingga Mei 2018 telah mencecah RM39 juta.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, jumlah itu merangkumi RM35.4 juta bagi tunggakan bil elektrik dan RM3.52 juta bagi tunggakan bil air.

“Tunggakan bil elektrik sehingga Mei 2018 oleh jabatan dan agensi kerajaan negeri  RM30.1 juta dan Persekutuan pula RM5.3 juta.

“Sementara itu, tunggakan bil air oleh jabatan dan agensi kerajaan negeri RM1.7 juta dan Persekutuan pula RM1.82 juta sehingga Mei 2018,” katanya pada Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-14 di sini hari ini.

Isu tunggakan bil utiliti itu turut menarik perhatian Speaker DUN, Datuk Hamdan Bahari yang menegur semua ketua jabatan yang hadir pada persidangan itu hari ini.

“Isu tunggakan ini merupakan perkara yang serius. Ketua jabatan yang hadir sila ambil tindakan,” katanya.

Azlan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Awam Perlis, Hamizan Hassan, berkata, Syarikat Air Perlis (SAP) telah mengambil langkah proaktif bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bagi membantu syarikat itu mengutip hasil air yang dibekalkan.

“SAP turut menawarkan pelan ansuran pembayaran bagi pengguna yang mempunyai tunggakan yang tinggi sejak 2017.

“Pelan ansuran ini untuk tempoh tidak melebihi 18 bulan dan pembayaran dilakukan secara bulanan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN