SUBANG JAYA – Seorang lelaki penyokong kumpulan pengganas Daesh yang pernah membuat ugutan bunuh ke atas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V melalui satu kemas kini di laman sosial miliknya ditahan bersama enam lagi individu dalam satu operasi di beberapa lokasi berasingan di seluruh negara.
Lelaki berkenaan yang berusia 34 tahun dan merupakan seorang penganggur itu ditahan di Skudai, Johor pada 17 Julai lalu dalam operasi yang dilakukan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, selain Yang di-Pertuan Agong, lelaki berkenaan turut mengeluarkan ugutan bunuh terhadap beberapa lagi individu berpangkat tinggi dalam pimpinan kerajaan.
“Melalui kemas kini di laman sosial Facebook miliknya, lelaki berkenaan turut mengugut bunuh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.
“Ugutan bunuh berkenaan dibuat lelaki tersebut kerana beranggapan Yang di-Pertuan Agong dan pucuk pimpinan negara adalah pemimpin toghut yang tidak mentadbir negara berpandukan syariat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lelaki berkenaan merupakan individu ke lima yang ditahan daripada tujuh individu dalam operasi yang bermula pada 12 hingga 17 Julai lalu di Selangor, Perak, Johor dan Terengganu kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas.
Menurut Muhammad Fuzi, empat daripada yang ditahan merupakan warga tempatan manakala tiga lagi merupakan warganegara Indonesia. – K! ONLINE










