HELSINKI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin memulakan sidang kemuncak bersejarah semalam dengan bertekad untuk membina semula hubungan bermasalah antara dua kuasa nuklear terbesar berkenaan.
Trump yang berkeras mahu menjalin hubungan peribadi dengan ketua Kremlin itu di sebalik dakwaan campur tangan Rusia dalam politik AS, muncul pada sidang kemuncak tersebut selepas menyalahkan kebodohan pentadbiran AS sebelumnya kerana mengakibatkan hubungan Washington-Moscow berada pada tahap rendah seperti masa sekarang.
Kedua-dua pemimpin itu bertukar ucapan pembukaan di hadapan wartawan ketika memulakan sidang kemuncak itu di ibu negara Finland, Helsinki semalam.
Putin yang menerima ucapan tahniah daripada Trump kerana kejayaan penganjuran Piala Dunia di Rusia berkata:
“Sudah tiba masanya untuk bercakap secara realistik dan bermakna tentang hubungan kita (AS-Rusia) serta masalah dunia.”.
Terdahulu, Trump menyatakan bahawa sidang kemuncak itu akan merangkumi ‘semuanya daripada isu perdagangan hinggalah kepada ketenteraan, peluru berpandu, nuklear dan China’.
“Secara jujur, kami tidak pernah serasi sejak beberapa tahun lalu dan saya benar-benar berpendapat bahawa dunia mahu melihat kami sehaluan. Kami merupakan dua kuasa nuklear yang hebat,” kata Trump.
Trump yang merupakan bilionair berusia 72 tahun, menjadi Presiden AS sepanjang 18 bulan lalu, manakala Putin, 65, pula telah memerintah Rusia selama 18 tahun. – AFP










