LOS ANGELES 14 Julai – Trend selebriti antarabangsa bergambar dalam Instagram dengan menunjukkan gaya seolah-olah sedang mengalami migrain mencetuskan kontroversi dalam media sosial.
Aksi mereka meletakkan sebelah atau kedua-dua belah tangan pada bahagian atas dahi seolah-olah sedang mengalami sakit kepala atau migrain itu telah menimbulkan kemarahan golongan pesakit migrain.
Malah jurumekap artis, Nam Vo yang mencetuskan idea gaya itu terpaksa memohon maaf kepada pesakit terbabit, lapor portal Mirror.
Kata wanita itu, dia sentiasa menggalakkan pelanggannya untuk beraksi sedemikian kerana dapat memperlihatkan keindahan wajah melalui gaya peletakan tangan malah dapat menunjukkan rias kuku masing-masing.
Selebriti seperti Kylie Jenner, Gigi Hadid dan Bella Hadid adalah antara selebriti yang meminati gaya tersebut.
Namun tidak semua orang menyukai aksi itu malah mencetuskan kemarahan golongan yang menderita penyakit migrain.
Melalui Instagram, Nam Vo memohon maaf kepada pesakit yang dikenali sebagai Dewey Dumplings yang telah berkongsi pengalaman penderitaan migrain yang dialami.
Walau bagaimanapun permohonan maaf itu tidak meredakan kemarahan pesakit lain.
Seorang pesakit menyelar Nam Vo dengan memberitahu bahawa wanita itu tidak mengetahui betapa teruknya penyakit migrain malah dia tidak akan membeli produk Elle dan melancarkan boikot terhadapnya.
“Kamu patut berasa malu. Kenapa kamu tidak lakukan aksi pesakit kanser pula. Aksi itu pasti tidak akan berlaku tetapi mengapa mengejek tahap keseriusan penyakit migrain pula boleh diterima.’’
“Kejahilan bukan alasan untuk kamu dan permohonan maaf kamu tidak mencukupi,’’ kata seorang pesakit lain.
Beberapa pesakit lain juga berkata, jika Nam Vo mengambil berat dan memahami kesakitan dan kepayahan hidup pesakit migrain maka dia sepatutnya berusaha menghentikan trend aksi yang dimulakannya.










