KLANG – Sebuah trak polis yang membawa 23 orang kena tuduh (OKT) termasuk seorang wanita terbalik di laluan selekoh masuk Mahkamah Klang di Jalan Dato Hamzah di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 8.45 pagi itu, dua OKT lelaki dan pemandu trak polis terbabit berpangkat Lans Koperal dari unit bahagian Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kemalangan dikatakan berlaku ketika kesemua OKT berusia 22 hingga 42 tahun dibawa dari lokap berpusat Shah Alam menghala ke Mahkamah Klang.
Katanya, kesemua OKT itu melibatkan 17 penjenayah yang ditahan oleh polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan selebihnya merupakan penjenayah yang diberkas oleh polis IPD Klang Selatan bagi proses reman dan pertuduhan.
“Ketika sedang membelok di laluan selekoh menaiki mahkamah didapati trak polis hilang kawalan sebelum terbalik.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila anggota polis yang memandu trak itu menekan brek sewaktu tayar hadapan dan belakang kanan terangkat sewaktu melalui laluan selekoh tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelasnya, kesemua yang cedera menerima rawatan di mahkamah sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk rawatan lanjut sebaik selesai proses mahkamah mereka.
Kes kini disiasat Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kosmo! difahamkan susulan kemalangan itu sebuah kren digunakan bagi mengangkat trak tersebut bagi mengelakkan kesesakan di laluan masuk mahkamah. – K! ONLINE










