KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak memfailkan saman sivil terhadap tiga penyiasat tertinggi yang mengendalikan siasatan terhadap dana berbilion ringgit dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu.
Tiga pegawai kanan yang disaman ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dan Peguam Negara, Tommy Thomas.
Melalui tiga saman sivil yang difailkan pada 30 Jun lalu tetapi hanya didedahkan kepada Reuters Rabu lalu, peguam Badrul Abdullah yang mewakili Najib, 65, sebagai plaintif mendakwa ketiga-tiga individu terbabit bertindak secara prejudis terhadap anak guamnya sepanjang tempoh siasatan mereka berkaitan skandal tersebut.
Badrul yang mengetuai salah satu daripada dua firma guaman mewakili Najib berkata, ia berdasarkan kepada kenyataan terdahulu yang dibuat oleh ketiga-tiga individu berkenaan.
“Kami memohon mahkamah memutuskan sama ada terdapat unsur konflik kepentingan dalam kalangan individu yang mengendalikan kes membabitkan anak guamnya,” kata Badrul kepada Reuters.











