KUALA LUMPUR 14 Julai – Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) membawa kepada dua pertemuan penting melibatkan pihak berkepentingan yang berlangsung di Kementerian Pendidikan, Putrajaya semalam.
Pertama, sekumpulan tokoh bahasa mewakili Gabungan Muafakat Bahasa dan Pendidikan Kebangsaan termasuk bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan hadir bertemu dengan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek.
Pertemuan kedua pula melibatkan wakil Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) yang berdialog bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
Perkembangan ini pastinya menarik minat ramai yang tertunggu-tunggu dengan ketetapan akhir daripada Kementerian Pendidikan berkenaan pengiktirafan sijil tersebut yang menjadi polemik dalam kalangan rakyat.
Awang yang juga Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah menyampaikan enam isu pokok berkenaan bahasa dan pendidikan termasuklah isu UEC yang dianggap akan memerangkap dasar dan sistem pendidikan kebangsaan.
“Banyak yang dibincangkan, termasuklah tentang pemerkasaan bahasa Melayu dalam sektor pendidikan, penghasilan karya ilmiah dalam bahasa Melayu serta hasrat menteri untuk menganjurkan forum yang lebih serius tentang bahasa Melayu selepas ini,” katanya.
Mengulas lanjut tentang UEC, Awang berkata, masalah pada sijil tersebut adalah kerana ia merupakan sijil untuk sekolah persendirian yang tidak membawa bersama matlamat kebangsaan seperti yang terdapat dalam sijil yang digunakan dalam silibus sekolah kebangsaan.
Menurut beliau, walaupun Dong Jiao Zong dalam kenyataan mereka semalam mendakwa UEC tidak mengabaikan bahasa kebangsaan, namun janganlah tindakan tersebut dilihat seperti ‘sebelah tangan mengangkat, sebelah lagi membinasakan’.
“Kita tidak mahu sebelah tangan menubuh, sebelah tangan meruntuh. Hasrat pengiktirafan UEC ini perlu dinilai semula sama ada ia benar-benar mendatangkan kebaikan kepada negara,” katanya.
Isu UEC mendapat perhatian ramai selepas beberapa pihak mendesak Nie Ching supaya memastikan kerajaan segera mengiktiraf sijil berkenaan yang menjadi salah satu perkara dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan awal bulan ini.
Pengiktirafan sijil itu juga mendapat ‘restu’ Dr. Maszlee yang menegaskan pihaknya tidak akan membuat pusingan-U berkenaan janji tersebut sehingga mendapat kritikan banyak pihak, termasuk tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang menyelar keputusan terburu-buru tersebut.











