KUALA LUMPUR 8 Julai – Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sama ada mahu mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mewakili Malaysia dalam Piala AFC musim depan.
Pahang menjuarai Piala FA menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam dan kejayaan itu membolehkan Tok Gajah memperoleh satu slot ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia musim depan.
Dollah secara peribadi memaklumkan dia mahu Pahang beraksi dalam kejohanan tersebut kerana percaya dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk memberi saingan.
“FAM putuskan untuk melarang kami bermain selama dua tahun. Apa yang penting kami memenangi Piala FA.
“Bergantung kepada Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (Presiden PBNP) sama ada mahu membuat rayuan atau tidak. Saya serahkan hal ini kepada pengurusan.
“Secara peribadi memang saya ingin Pahang beraksi dalam kejohanan tersebut kerana apa yang saya lihat kami ada pemain berkualiti seperti (Mohamadou) Sumareh, Matthew (Davies), Norazam (Abdul Azih) dan Safuwan (Baharudin).
“Macam satu kerugian sebenarnya (jika tidak beraksi). Bagaimanapun kami kena akur kepada keputusan FAM.
“Kami ada peluang untuk pergi jauh atau memberi bagi saingan,” katanya kepada pemberita semalam.
Pahang dipilih mewakili Malaysia dalam saingan Piala AFC musim ini bagi menggantikan Kedah yang gagal mendapatkan lesen AFC.
Begitupun, tawaran itu ditolak skuad Tok Gajah kerana mahu memberi fokus terhadap pertandingan domestik.
Pahang didapati melanggar Artikel 14 Statut FAM kerana ingkar arahan badan induk itu selepas enggan atau gagal mendaftar pasukan ke pertandingan Piala AFC musim ini, sekali gus dilarang memohon lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk dua tahun, bermula musim ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalingam berkata, Pahang perlu mengemukakan rayuan kepada FAM jika mahu beraksi.
“Melihat kepada situasi ini, larangan daripada FAM jadi mungkin ia bergantung kepada budi bicara mereka.
“Pahang harus mengemukakan rayuan dan FAM saja boleh membuat keputusan jika mereka mahu memberi pelepasan,” ujarnya.











