REMBAU 25 Julai – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memperluaskan program tanggung jawab sosial korporat (CSR) syarikat utiliti kebangsaan itu dengan meliputi projek memulihara habitat dan kepelbagaian kelip-kelip.
Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin berkata, projek itu dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Research Sdn. Bhd. (TNB Research) untuk tempoh tiga tahun sejak Mei tahun lalu.
Beliau berkata, projek itu melibatkan kajian menyeluruh mengenai serangga yang menarik minat ramai itu terutamanya para pelancong di empat lokasi utama iaitu Kampung Sungai Timun dekat sini, Kampung Kuantan, Kuala Selangor; Kampung Yak Yah di Kemaman, Terengganu dan Kampung Dew di Taiping, Perak.
“Hasil kajian ini yang menelan belanja kira-kira RM5.8 juta akan dihantar kepada pihak pengurusan tertinggi TNB sebelum diberi kepada kerajaan negeri untuk tindakan bersama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Aidilfitri TNB di pekarangan jeti nelayan Pusat Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Sungai Timun di sini baru-baru ini.
Tambahnya, selain habitat dan populasi kelip-kelip, TNB juga berminat menaik taraf sosio ekonomi penduduk kampung terutamanya para nelayan meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pelancongan.
Jelasnya, selain membawa pelancong, penduduk setempat juga boleh mengambil bahagian melalui penanaman dan penjualan benih pokok Berembang yang menjadi tumpuan kelip-kelip.
“Usaha ini pernah dilakukan di Kuala Selangor dan kita berharap ia dapat diperluaskan di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Unit Regulatori dan Sains Alam Sekitar TNB Research, Shahril Husin berkata, matlamat utama kajian di Rembau itu ialah untuk membangunkan satu kaedah pelan pengurusan ekosistem yang lestari bagi pemuliharaan populasi dan habitat kelip-kelip.
Katanya, skop kajian itu antara lain termasuk kepelbagaian dan kelimpahan populasi kelip-kelip dan komuniti serangga yang berkait kelip-kelip, tumbuhan yang hidup di sepanjang tebing sungai, kualiti air serta tahap pencemaran dan perubahan guna tanah selain kaitannya dengan populasi kelip-kelip.
“Pelaksanaan kajian ini diharap dapat menjadi platform perkongsian ilmu bersama komuniti setempat mahu pun para pelajar tentang kepentingan memelihara kualiti alam sekitar serta menyemai semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan mereka.
“Antara program yang dirancang sepanjang kajian termasuk menanam pokok Berembang bersama komuniti dan pelajar di sepanjang kawasan kajian itu,” katanya.
Beliau memberitahu, pada 27 Jun lalu, satu program pendidikan alam sekitar bersama pelajar sekolah sekitar daerah Rembau telah diadakan dengan penglibatan seramai 60 pelajar.
Jelasnya, pelbagai aktiviti telah dijalankan semasa program selama satu hari itu antaranya menanam sebanyak 60 anak pokok Berembang, aktiviti dalam kumpulan berdasarkan modul-modul iaitu serangga dan kelip-kelip, penggunaan peta dan sistem penentu kedudukan global (GPS), kualiti air sungai dan tumbuh-tumbuhan.










