PULAU PINANG 5 Julai – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini dipercayai kerana serangan jantung.
Ahmad Zakiyuddin, 60, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal dilaporkan mengadu sakit dada kira-kira pukul 12 tengah hari tadi ketika dalam perjalanan menghadiri satu majlis di Kepala Batas di sini.
Ekoran itu, beliau dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Bandar Perda di sini sebelum dirujuk ke HPP.
Dalam pada itu, menurut sumber daripada kerajaan negeri, Ahmad Zakiyuddin kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan dipantau rapi di HPP.
Ahmad Zakiyuddin merupakan antara lima muka baharu yang dilantik dalam barisan Exco kerajaan negeri selepas Pakatan Harapan berjaya mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Selain dilantik Timbalan Ketua Menteri I, beliau turut memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat negeri. – UTUSAN ONLINE










