Tite ‘tutup mulut’
tentang masa depannya - Utusan Malaysia

Tite ‘tutup mulut’
tentang masa depannya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAZAN ARENA, Rusia 7 Julai – Jurulatih Brazil, Tite membiarkan persoalan tentang masa depannya menjadi tanda tanya, tetapi dalam masa sama dia juga enggan menuding jari kepada sesiapapun setelah juara dunia lima kali itu tersingkir daripada Piala Dunia ekoran kekalahan 1-2 kepada Belgium di suku akhir, hari ini.

Empat tahun selepas drama kecederaan Neymar dan diaibkan menerusi kekalahan 1-7 kepada Jerman di tanah air sendiri, Brazil terpaksa bermula semula daripada angka kosong selepas mereka mengikut jejak langkah negara jiran Argentina, Uruguay dan Colombia terkeluar daripada saingan.

Brazil masih belum tewas dalam 15 perlawanan terakhir mereka sejak berada di bawah kendalian Tite, yang turut menyaksikan Selecao hanya dibolosi tiga gol.

Bagaimanapun, harapan mereka untuk menjulang Piala Dunia berkecai setelah dibolosi dua kali, hasil gol sendiri Fernandinho pada minit ke-13, dan rembatan cantik Kevin De Bruyne yang berkesudahan Brazil serta Neymar ditimpa kekalahan. Gol saguhati Selecao dijaringkan oleh Renato Augusto pada minit ke-76.

Tite mengakui kekalahan tersebut amat pahit untuk ditelan, tetapi menolak dakwaan bahawa dia akan meletakkan jawatan.

“Saya tidak akan mengulas tentang masa depan, saya tidak langsung memikirkan mengenai perkara itu. Saya akan membuat penilaian perlawanan ini dan kempen kami, tetapi saya tidak akan memberikan komen tentang individu.

“Ia bukan satu tindakan berperikemanusiaan. Kami juga perlu melihat dari konteks global. Kami bermain dalam perlawanan yang mana kami menguasai bola, memiliki begitu banyak peluang, tetapi berhubung keberkesanan…Belgium berjaya menukarkan peluang kepada jaringan.

“Mereka tidaklah beraksi terlalu hebat di atas padang, tetapi bermain dengan lebih efisien. Itu sudah pasti,” kata jurulatih berusia 56 tahun itu.

Neymar, yang kelihatan berada pada prestasi terbaik sewaktu menjaringkan gol dan berperanan sebagai perancang untuk satu lagi jaringan ketika menewaskan Mexico 2-0 di peringkat 16 akhir, gagal menyinar pada pertemuan dengan Belgium, meskipun berjaya membuat penjaga gol Red Devils, Thibaut Courtois berasa cemas.

Bintang Paris Saint-Germain itu, yang kelihatan mengalirkan air mata sewaktu wisel penamat dibunyikan, enggan bercakap kepada media yang menanti untuk menemubualnya selepas perlawanan.

Pertahanan Real Madrid, Marcelo, yang berjaya menghadirkan ancaman kepada Belgium sepanjang permainan menyifatkan, pertemuan tersebut sebagai satu mimpi ngeri. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN