Tingkatkan perkongsian idea dalam budaya, sukan di Karnival IMT-GT - Utusan Malaysia

Tingkatkan perkongsian idea dalam budaya, sukan di Karnival IMT-GT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 21 Julai – Para peserta Karnival Varsiti Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) 2018 yang berlangsung selama tujuh hari di negeri ini, dinasihatkan supaya mengambil peluang untuk meningkatkan perkongsian idea dan persaingan sihat melalui kebudayaan dan sukan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, mahu kesemua 1,000 orang peserta yang terlibat menggunakan kesempatan itu untuk berinteraksi, berkenalan dan bersaing dalam semangat kesukanan melalui konsep kebersamaan, perpaduan dan saling menghormati.

Titah baginda, persaingan yang sihat melalui sukan serta perkongsian idea semasa seminar dan pertunjukan kebudayaan sepanjang karnival berkenaan, mampu meningkatkan sikap toleransi di antara satu sama lain.

“Beta berharap semangat perpaduan yang diperoleh dalam karnival ini tidak akan berakhir hanya selepas tujuh hari anda di sini tetapi akan dibawa pulang ke negara masing-masing,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa berkenan berangkat mencemar duli merasmikan Karnival Varsiti IMT-GT 2018 di Dewan Semarak, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan negeri di sini malam ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said dan Rektor UiTM Cawangan negeri, Zailuddin Ariffin.

Hadir sama ialah Naib Presiden (Pembangunan Pelajar dan Hal Ehwal Alumni) Prince of Songkhla University, Prof. Madya Supote Kovitaya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatan kuasa Karnival.

Tuanku Syed Faizuddin seterusnya bertitah, sejak 1995, Karnival Varsiti IMT-GT telah membawa banyak manfaat kepada universiti-universiti yang mengambil bahagian.

Titah baginda, karnival itu ternyata telah membuka minda pelajar untuk mendekati masyarakat dan menggunakan peluang diberikan untuk menyerlahkan lagi potensi mereka demi faedah bersama.

Dalam pada itu, baginda berharap, kesemua peserta dapat mengunjungi lokasi-lokasi menarik di negeri ini seperti Gua Kelam, Taman Ular, Taman Negeri, Kuala Perlis dan Padang Besar.

“Rasailah makanan tempatan seperti Laksa Perlis, Kurma Daging Perlis, ikan bakar, air nira dan mempelam Harumanis kami yang terkenal apabila tiba musimnya.

“Beta berharap anda dapat meluangkan masa untuk melawat sekurang-kurangnya satu atau dua tempat tarikan pelancong dan satu atau dua makanan tempatan,” titah baginda.

Sebanyak 12 buah universiti yang terlibat dalam karnival itu iaitu Universiti Sains Malaysia (USM); Prince of Songkhla University; Universitas Negeri Medan; Universiti Utara Malaysia (UUM); Thaksin University; Universitas Sumatera Utara; UiTM; Walailak University; Institut Teknologi Medan; Universiti Malaysia Perlis (Unimap); Rajamangala University of Technology Srivijaya dan Universitas Syiah Kuala.

Antara sukan yang dipertandingkan ialah bola sepak, bola tampar bagi wanita, bola keranjang, badminton, tenis, petanque dan woodball.

Pada Isnin ini, para ketua kontinjen universiti yang hadir atau wakil akan mengambil bahagian mengiringi Tuanku Syed Faizuddin dalam sesi kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf edisi khas sempena karnival ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN