KUALA LUMPUR 26 Julai – Tindakan Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd. untuk meletak jawatan secara beramai-ramai tidak mengejutkan beberapa penganalisis dan ahli ekonomi yang percaya akan ada perubahan dalam pengurusan syarikat berkaitan kerajaan.
“Adalah normal di setiap negara apabila bertukar kerajaan pasti akan ada misi dan visi baru oleh kerajaan baharu. Temasek Holdings Singapura misalnya telah mengubah pengurusan atasan setelah berlaku perubahan dalam kerajaan.
“Saya jangka mungkin dengan Khazanah baru (jika kerajaan menerima peletakan jawatan mereka), Malaysia akan melihat lebih banyak suntikan dan mungkin bakat dari luar negara atau pengurusan peringkat kedua dari Khazanah yang boleh mengambil alih syarikat itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd. Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.
“Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad suka memberikan peluang kepada golongan muda, jadi mungkin dia mahu melihat darah muda di sana,” katanya.
Hari ini, Khazanah Nasional mengumumkan bahawa kesemua sembilan ahli Lembaga Pengarahnya termasuk Pengarah Urusan Tan Sri Azman Mokhtar menawarkan untuk meletakkan jawatan mereka.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata, peletakan jawatan itu akan memudahkan peralihan yang lancar dan teratur di bawah Kerajaan baru.
Ahli Lembaga Pengarah lain ialah Datuk Seri Nazir Razak, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda, Datuk Nirmala Menon, dan Yeo Kar Peng .
Dr. Mahathir dilaporkan berkata, akan ada beberapa penstrukturan semula dalam Khazanah kerana pelantikan pegawai peringkat tertinggi kebanyakannya melalui pelantikan politik.
Beliau juga menggesa Khazanah untuk kembali ke salah satu tujuan utama penubuhannya untuk membantu Bumiputera.
Khazanah menurut Dr. Mahathir, pada mula dibentuk untuk membeli saham yang diperuntukkan kepada Bumiputera, yang biasanya membeli saham dan menjualnya kepada orang lain dengan segera.
“Saya tidak faham apabila beliau berkata bahawa Khazanah telah menyimpang dari misi tersebut. Tetapi mengetahui Dr Mahathir, dia selalu mempunyai misi yang berbeza yang dia mahu memberi kepada Khazanah baru itu. Mungkin untuk memperkasa ekonomi Bumiputera dalam konteks lain seperti teknologi dan pendidikan.
“Saya menjangkakan Khazanah 2.0 mempunyai unsur-unsur ini,” jelas Nazri Khan.
Pada masa ini, jumlah nilai aset yang diuruskan oleh Khazanah berjumlah RM159 bilion, di mana 30 peratus dipegang oleh pelabur asing.
Khazanah adalah dana pelaburan strategik negara yang diamanahkan untuk memegang dan menguruskan aset komersil kerajaan dan melaksanakan pelaburan strategik.
Ia terlibat dalam pelbagai sektor seperti kuasa, telekomunikasi, perbankan, penjagaan kesihatan, pengurusan lapangan terbang, infrastruktur, rekreasi dan pelancongan, pembangunan hartanah, penyiaran, pegangan pelaburan dan teknologi.
Beberapa syarikat tersenarai utama di bawah portfolio pelaburannya ialah Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, Axiata Group Bhd, IHH Healthcare Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd dan UEM Sunrise Bhd.
Pada 3.20 petang, saham sesetengah syarikat di bawah portfolio Khazanah didagangkan bercampur – CIMB turun empat sen kepada RM5.85, TM turun dua sen kepada RM3.85, Tenaga meningkat 14 sen kepada RM15.02 dan IHH menambah dua sen kepada RM5.99.-BERNAMA










