KUALA LUMPUR 16 Julai – Tindakan Ahli-ahli Parlimen UMNO serta Barisan Nasional (BN) keluar daripada Sidang Dewan Rakyat pagi tadi adalah sebagai tanda rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang gagal mengikut peraturan dalam soal pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, prinsip yang dipegang oleh BN sewaktu menjadi kerajaan adalah menghormati peraturan serta undang-undang dan apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan membuatkan Parlimen tidak dihormati.
Tegasnya, tindakan keluar Sidang Dewan Rakyat bukan mempertikai atau tidak bersetuju dengan cadangan melantik Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, sebaliknya kerana melihat pelantikan itu tidak dilakukan mengikut peraturan.
“Jika kita tidak bersetuju pelantikan Mohamad Ariff, pasti kita juga akan mencadangkan calon lain untuk jawatan yang sama. Dalam soal ini kerajaan jelas tidak mematuhi peraturan mengikut bukti yang kita ada.
“UMNO ingin tegaskan bahawa kita amat menghormati institusi Parlimen kerana Parlimen mesti diletakkan pada kedudukan yang tinggi. Jadi mematuhi peraturan penting dilakukan bagi menunjukkan Parlimen dihormati,” katanya.-UTUSAN ONLINE










